Search This Blog

Search This Blog

Sunday, 2 November 2014

Cinderella Drama

Perkongsian Hari ini.

Mummy cuti... melangkah bersama Jesie untuk latihan Drama Cinderella. Mengasah bakat yang sedia ada. Berpandukan tunjuk ajar minima dari Guru, Jesie boleh melakonkan watak Cinderella dengan baik.

Anak ini cerdik walaupun hanya berfungsi menggunakan otak kanannya sahaja. Jesie seronok melakonkan watak Cinderella bersama rakan-rakan.

Nun jauh di hujung dewan Mummy diarahkan bersembunyi supaya Jesie boleh fokus kepada lakonannya. Jauh di dasar hati Mummy, menginginkan Jesie sembuh seperti sedia kala. Pada waktu dulu-dulu... boleh menari lincah semula serta menyanyikan lagu kegemarannya (Auntie Shakira). Peritnya hati hanya Tuhan yang tahu. Jauhnya angan-angan Mummy sehingga semakin melukakan hati Mummy.

Kalau Mummy boleh balik semula ke lohong masa, akan Mummy tukar kedudukkan kita. Biarlah Mummy yang menanggung deritamu, Jesie. Mummy sanggup! Tetapi... mana mungkin itu akan berlaku. Mummy sedar dan masih waras... Tulisan takdir sudah tertulis sebelum kita dilahirkan lagi. Jadi Mummy kena telan walau sepahit hempedu derita ini.

Tercuit hati Mummy bila melihat Cinderella bergandingan dengan Putera Raja di atas pentas. Melakar impian... Adakah Mummy dan Daddy bakal melihat Cinderella berkahwin dalam realiti satu hari nanti? Akan adakah sang putera raja bakal melamarmu nanti?

Arghh!!! Mummy terkedu dan pendamkan semula perasaan seorang ibu. Mummy tak sanggup meneroka fikiran Mummy lagi. Mummymu tamak Jesie, inginkan yang terbaik buat dirimu. Mencipta impian masa hadapanmu.

Ayuh Jesie, kita berusaha membina impian agar pada satu hari, ia menjadi kenyataan! Berjalan jangan pernah menunduk, pandangan biar luas ke hadapan!

Semoga perjuangan kita menemui keajaiban Tuhan... Ada hikmah yang harus kita gali serta dikongsi menjadi sumber inspirasi kepada yang lain.

Koleksi Gambar sebelum dan semasa sakit. Keluar masuk hospital, masa rehat, tidur dan makan dikorbankan. Demi anak dan tanggungjawab...

Saturday, 18 October 2014

1 Tahun_Post Surgery (5 June)

Saya mulakan dengan ucapan syukur kepada Tuhan. Kerana memberi peluang kepada saya serta Tuan suami untuk membesar dan memberi kasih sayang yang selayaknya kepada Jesie.

Bila saya pandang ke belakang, 2 tahun yang lepas.
1) Hilang Harapan
2) Tertekan
3) Kecewa
4) Tidak Berdaya

Tetapi tidak pernah putus asa atau menerima dugaan ini dengan seadanya. Saya redha tetapi terus berusaha bersama doa yang tidak pernah lekang dari hati demi kebaikan Jesie.

3 kali Neurologist mengesa kami (saya dan suami) agar memberi kebenaran untuk melakukan pembedahan 'Hemispherectomy' tetapi kami tolak. Kenapa?

Hemispherectomy
- Pembedahan memutuskan sambungan otak kanan dan otak kiri manusia.
- Kesannya besar (Hemiplegia - CP akibat dari pembedahan)

Jesie pula kena otak kiri
- 80% manusia dilahirkan akan menggunakan otak kiri sebagai otak utama.
- Speech area terletak di sini. Kesan tersebut sungguh besar.

Sebagai ibu bapa yang pernah melihat anak tunggal sihat walafiat selama empat tahun. Anak boleh berlari, menyanyi, menari, becok bercakap (6 bahasa dia faham dan fasih), membaca, melukis, menulis dan mempunyai daya ingatan yang tinggi.

Terus terang saya katakan... saya menolak gesaan Neurologist!

~ Kerana belum puas berusaha

Benda ini berlarutan selama 23 bulan. Keadaan Jesie bukan semakin sihat malah semakin teruk!

KEPUTUSAN harus di buat!
Antara mati dan hidup!

5 Jun 2013

Menyaksikan saya menandatangani surat pelepasan pembedahan kepada pasukan Neurosurgeon Sime Darby Ara Damansara. Diketuai oleh Doktor Marious Bannedict Selladurai.

Pagi yang dingin...

- 6.30 pagi, Jesie bangun diberi mandi sebersihnya dengan menggunakan shampoo yang disediakan oleh pihak hospital.

- 7.30 pagi, Jesie di tolak masuk ke operation theatre. Saat ini tidak pernah hilang dari ingatan saya. Di mana saya dan suami mengucapkan 'selamat tinggal' kepada Jesie. Dia tersenyum. Tenang riak mukanya. 'Bercahaya' dan sejuk mata saya memandang dia.

Masa terakhir itu, cuma matanya yang bersuara dengan saya...

"Mummy, saya redha. Let me go." Itulah bahasa matanya.

Saya masih kuat. Tiada tanggisan. Pada saat saya ingin tinggalkan Operation Theatre, Matron datang. Dia paut saya dalam pelukkannya. Pertemuan pertama kami, tetapi dia tahu bagaimana saratnya hati saya dengan muatan airmata.

Pagi tersebut, empangan airmata saya pecah di atas bahu Matron itu. Sama-sama kami menanggis menggenangkan Jesie.

"She in a good hand. Dr. Ben team is good." Katanya.

"Ya... I know. But I won't get the same Jesie as before...." Aduku.

"Ya, at least... her seizures will stop. That is matter and that is our goal." Katanya.

"Ya...."

"We pray for her. See you after her surgery."

Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik bagi Jesie.

Jesie selamat keluar selepas 8 jam berada di dalam Operation Theatre. Resah menunggu tiada ukuran kata pada saat itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Minggu ketiga selepas pembedahan...

Jesie sudah sedar sepenuhnya. Tahu lapar, menjerit minta makan. Membesar dan sihat sempurna.

Satu hari, Jesie memanggil saya.

"Mummy."

Saya terkejut!

"Why, Honey?"

Jesie mengangkat tangan kanannya yang tidak mampu melakukan apa-apa pada ketika itu.

Runtuh, hati saya! Sebagai seorang ibu saya tahu 'mimiknya'.

"Mummy, kenapa tangan saya tak boleh bergerak?" Itulah soalan yang dia suarakan.

Saya peluk Jesie. Nyilu tangkal hati.

"Mummy, pernah janji... akan hentikan 'shack shack' (jerking movement). Sekarang dah tak ada kan? Ada satu tangan boleh pakai,  kita akan gunakan ini dengan sebaik mungkin."

Saya harap suatu hari dia akan faham apa yang saya katakan.

Bertitik tolak dari hari itu. Saya menyaksikan pembesaran seorang anak dengan menggunakan hanya Otak Kanannya. Keajaiban itu memang ada.

Malam ini menyaksikan Jesie sudah mampu menulis, melukis, pandai berkomunikasi bila nak makan, nak kencing, nak berak, minat membaca.

Tanpa Hemispherectomy Jesie tak akan mampu membuat perkara di atas.

Penumpuan paling sukar adalah latihan berjalan dan bercakap semula! Latihan seumur hidup!

Terima kasih atas doa dan ingatan kalian...

#mylovejesie

Saturday, 11 October 2014

Pre Hemispherectomy

Saat ini, hati aku masih dibalut pelbagai warna. Hati seorang ibu tidak mungkin akan damai apabila terpaksa menyiapkan anak yang dikandung selama sembilan bulan untuk dibedah di kepala.

Menyedari hakikat, setelah memutuskan sambungan otak sebelah kanan dan kiri Jesie, akan memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan seharian Jesie. Namun, apa yang aku fikirkan adalah saat ini. Saat Jesie bertarung nyawa di antara hidup dan mati Jesie. Tiada yang lebih penting ketika ini, melainkan nyawa anak kesayangan. Nyawa anak yang aku tunggu selama lebih sepuluh tahun. Satu penantian yang cukup lama, akhirnya Tuhan mendengar seruanku. Maka lahirlah Jesie melalui rahimku.

Keadaan Jesie ketika ini meluluhkan hati setiap orang yang mempunyai mata hati penyayang. Bentuk tubuh bertukar kepada bentuk S. Kaki dan tangan kiri melekat di dada. Terketar-ketar 'jerking movement' tidak pernah berhenti selama 23 bulan. Sakit hati seorang ibu apabila dijamu setiap hari dengan penderitaan anak, sukar untuk aku gambarkan. 

Airmata, bukanlah penyudah yang baik. Cuma sekadar untuk melegakan perasaan yang sedang berperang mencari akal, menconggak cara untuk memulihkan keadaan Jesie. Usulan HEMISPHERECTOMY daripada neurologists, kami tolak sebanyak tiga kali. Kesan KECACATAN kekal selepas pembedahan adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk kami terima. Sementelah, Jesie adalah seorang kanak-kanak normal sebelum diserang SEIZURES/TARIK/SAWAN pertama.

Saat aku merakamkan moment ini, Jesie sudah terlalu tenat... berat badan 11kg sahaja. Kurus kering. Hanya tinggal kulit dan tulang sahaja. Makan kami bagi secukupnya. Cuma, Jesie akan mengambil masa hampir 3 jam untuk menghabiskan sepinggan nasi atau semangkuk bubur. Hanya, rasa kasih sayang yang akan mampu menghadirkan tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi semasa melayani Jesie.

Minta maaf, niat hati untuk melakarkan lebih lanjut mengenai Jesie... tetapi aku belum mempunyai cukup kekuatan untuk menuliskan kisah Jesie. Hati ini terlalu rapuh. Kalah dengan emosi diri... Airmata ini terlalu murah. Berbaldi telah tumpah, namun tak pernah kehabisan. Kesannya, aku binggung, sakit hati tak terluah. Di luar nampak kuat, di dalam terlalu rapuh.

Jesie anak yang baik, comel, petah, bijak... dulu dan sampai sekarang dia tetap begitu. Menghiburkan selalu. Ya, Tuhan... berikan limpahan kasih sayangmu terhadap anak ini. Amin.

Sekian untuk kali ini. Ambillah iktibar dari video Jesie. Sebarkanlah andainya, keputusan yang saya telah buat dapat menyelamatkan kanak-kanak yang di diagnosed dengan penyakit RASMUSSEN ENCEPHALITIS...
Pesan saya... jangan dibiarkan. Selamatkanlah anak anda sewaktu dia masih kecil lagi. Hasil daripada pembedahan HEMISPHERECTOMY adalah sangat menakjubkan. Hadapilah ketakutan seorang ibu bapa dengan TAWAKAL dan berserah kepada Tuhan. Dengan izinNya... terjadilah mengikut aturan hidupNya.
Terima Kasih atas sokongan dan himpunan doa kepada Jesie. Love, love, love...

Thursday, 25 September 2014

Airmata Seorang Ibu

Airmata Seorang Ibu

Pertama kali, bila melihat Jesie, mula menapak kaki aku menanggis.

Pertama kali, bila melihat anakku, mula menulis dan mewarna semula, aku menanggis.

Pertama kali, bila melihat permataku, cuba mengira dengan bersusah payah mengangkat jari kanannya serta kedua belah jari kakinya, aku menanggis.

Pertama kali selepas beberapa hari keluar dari hospital, Jesie meminta makan nasi, aku menanggis.

Pertama kali, bila melihat Jesie bersusah payah mencuba untuk meniup 'bubble', aku menanggis.

Pertama kali, bila Jesie pandai makan sendiri, aku menanggis.

Pertama kali, bila Jesie pandai buka pakai baju, aku menanggis.

Pertama kali, bila Jesie pandai memberi tahu bahawa dia hendak pergi ke tandas, aku menanggis.

Pertama kali, bila Jesie ingin duduk di kerusi sendiri di hospital, aku terkedu. Tanpa kata.

"Anakku, sudah pandai menolak huluran tangan seorang ibu."

Sesungguhnya tangisan gembira adalah penghapus segala kekecewaan selama ini. Setiap perkembangan positif Jesie adalah keajaiban Tuhan yang telah turunkan.

KepadaNya, aku berserah dan memohon. Ampunilah setiap titisan dosaku. Rahmatilah, anakku sampai ke Syurga.

Jesie is WALKING




Finally, our is come true... 

Jesie is started walking at her school building for this a few days already. I am a proud mama! 
Love you so my angle. Mummy know that you can do it!

Everyone are very happy in the school, seeing her progress.

I am glad that Hemispherectomy was been done on last year. There are so much of things that she is able to do in present day.

Thursday, 7 August 2014

Walking Dream!

Yeay! Surprised! Surprised!
Jesie's managed to walk on the floor(without assistance) for a few step today...

Almost three years I never see her walking and this is the most beautiful scene that I saw. Speechless, sobbing, happy feeling are mixing and blending inside my chest!

I could not stand myself when a tears of joy are dropping from my eyes! Oh, only God knows, how precious that moments to me. Lovely, lovely, lovely...

Thank you God for listening and answering our prayers...

Monday, 21 July 2014

Jesie The Ferocious Lioness

21 Jul 2014

Pakai Stoking.

Awal pagi semasa bersiap untuk pergi ke sekolah, Jesie akan memakai stoking. Biasanya, kami yang akan memakaikan stoking tersebut untuk Jesie.

Tetapi pagi ini, dia bertindak 'garang' tidak membenarkan sesiapa pun memakaikan stoking tersebut untuk dia.

Saya pun membiarkan dia sahaja. Memerhatikan, bagaimana dia menggunakan tangan kiri sahaja untuk memakai stoking tersebut. Beberapa kali dia mencuba, tapi gagal juga. Jadi, saya berkeras hendak menolong dia. Jesie bertindak 'garang' lagi. Degil tidak mahu pertolongan daripada saya. Saya biarkan lagi... akhirnya, walau sampai terbaring di atas tilam... berjaya juga dia memakai stoking tersebut dengan mengunakan tangan kirinya sahaja.

Saya kagum dengan sikap 'degil', tidak mudah menyerah Jesie...

Pakai Pakaian

Jesie sekarang sudah pandai, ingin berdikari. Memakai pakaian pun, Jesie menolak pertolongan daripada kami sekeluarga. Dengan satu tangan dia membuka baju dan seluar atau pampers. Begitu juga bila memakai pakaiannya semula.

Berjalan

Minggu ini, sangat ketara bila saya pimpin tangan kirinya waktu berjalan. Jesie sudah pandai mengimbangi badannya. Sewaktu memimpin dia, ringan badannya. Sesuatu yang tidak pernah saya alami sebelum ini.

Langkah kaki kanannya semakin tegap dan kuat. Tapak kaki kurang menjengket. Pinggang pun makin kuat. Saya belum cuba menggunakan tongkat sebagai alat sokongan untuk dia berjalan sendiri. Apapun bila berpegang di kerusi, meja atau dinding... Jesie boleh melangkah. Segala pujian bagi Tuhan. Kerana keajaiban itu datang dariNya.

Barang Kemas

Jesie sudah pandai menyukai rantai leher dan rantai kaki. Sukar untuk memujuk dia menanggalkan barang tersebut semasa berada di sekolah. Aktiviti terapi Jesie tidak membolehkan dia memakai barang tersebut.

Hanya Kakak seorang yang dapat memujuk Jesie untuk menanggalkan barang tersebut. Naluri seorang perempuan tetap ada di dalam diri Jesie.

Menulis

Selama seminggu yang lepas Jesie tidak ke Sekolah. Tidak berapa sihat dan Kakak pula baik kampung. Pagi tadi semasa di Sekolah Cikgu kelasnya terkejut. Jesie sudah pandai menulis mengikut garisan serta meniru huruf yang diberikan oleh Cikgunya.

Jesie gembira sangat, hari ini dia dapat markah A untuk nombor 1 yang ditulisnya. Happy sangat-sangat. Jesie boleh tulis mengikut garisan dan menulis nombor 1 tanpa garisan.

Sebenarnya, walaupun saya tak hantar dia ke sekolah minggu lepas tapi... latihan menulis dan mewarna saya terapkan setiap hari. Dengan sifat semulajadinya dari dulu lagi. Suka bermain dengan buku-buku. Sampai sekarang tidur pun dengan buku.

Mewarna

Apapun warna... Jesie sangat sukakan warna merah jambu! Tak kiralah apa benda yang dia warnakan. Merah jambulah benda itu... hehehe

Warna pada gambar-gambar yang diwarnakan masih berselerak. Saya biarkan dulu... sebagai latihan tangan. Untuk memegang dan menguatkan cengkaman jemarinya. Tapi, sekali sekala saya tetap bertegas... harus mewarna dengan kemas!

Sekian untuk kali ini.
Terima Kasih.