Perkongsian Hari ini.
Mummy cuti... melangkah bersama Jesie untuk latihan Drama Cinderella. Mengasah bakat yang sedia ada. Berpandukan tunjuk ajar minima dari Guru, Jesie boleh melakonkan watak Cinderella dengan baik.
Anak ini cerdik walaupun hanya berfungsi menggunakan otak kanannya sahaja. Jesie seronok melakonkan watak Cinderella bersama rakan-rakan.
Nun jauh di hujung dewan Mummy diarahkan bersembunyi supaya Jesie boleh fokus kepada lakonannya. Jauh di dasar hati Mummy, menginginkan Jesie sembuh seperti sedia kala. Pada waktu dulu-dulu... boleh menari lincah semula serta menyanyikan lagu kegemarannya (Auntie Shakira). Peritnya hati hanya Tuhan yang tahu. Jauhnya angan-angan Mummy sehingga semakin melukakan hati Mummy.
Kalau Mummy boleh balik semula ke lohong masa, akan Mummy tukar kedudukkan kita. Biarlah Mummy yang menanggung deritamu, Jesie. Mummy sanggup! Tetapi... mana mungkin itu akan berlaku. Mummy sedar dan masih waras... Tulisan takdir sudah tertulis sebelum kita dilahirkan lagi. Jadi Mummy kena telan walau sepahit hempedu derita ini.
Tercuit hati Mummy bila melihat Cinderella bergandingan dengan Putera Raja di atas pentas. Melakar impian... Adakah Mummy dan Daddy bakal melihat Cinderella berkahwin dalam realiti satu hari nanti? Akan adakah sang putera raja bakal melamarmu nanti?
Arghh!!! Mummy terkedu dan pendamkan semula perasaan seorang ibu. Mummy tak sanggup meneroka fikiran Mummy lagi. Mummymu tamak Jesie, inginkan yang terbaik buat dirimu. Mencipta impian masa hadapanmu.
Ayuh Jesie, kita berusaha membina impian agar pada satu hari, ia menjadi kenyataan! Berjalan jangan pernah menunduk, pandangan biar luas ke hadapan!
Semoga perjuangan kita menemui keajaiban Tuhan... Ada hikmah yang harus kita gali serta dikongsi menjadi sumber inspirasi kepada yang lain.
Koleksi Gambar sebelum dan semasa sakit. Keluar masuk hospital, masa rehat, tidur dan makan dikorbankan. Demi anak dan tanggungjawab...
No comments:
Post a Comment