Search This Blog

Search This Blog

Saturday, 18 October 2014

1 Tahun_Post Surgery (5 June)

Saya mulakan dengan ucapan syukur kepada Tuhan. Kerana memberi peluang kepada saya serta Tuan suami untuk membesar dan memberi kasih sayang yang selayaknya kepada Jesie.

Bila saya pandang ke belakang, 2 tahun yang lepas.
1) Hilang Harapan
2) Tertekan
3) Kecewa
4) Tidak Berdaya

Tetapi tidak pernah putus asa atau menerima dugaan ini dengan seadanya. Saya redha tetapi terus berusaha bersama doa yang tidak pernah lekang dari hati demi kebaikan Jesie.

3 kali Neurologist mengesa kami (saya dan suami) agar memberi kebenaran untuk melakukan pembedahan 'Hemispherectomy' tetapi kami tolak. Kenapa?

Hemispherectomy
- Pembedahan memutuskan sambungan otak kanan dan otak kiri manusia.
- Kesannya besar (Hemiplegia - CP akibat dari pembedahan)

Jesie pula kena otak kiri
- 80% manusia dilahirkan akan menggunakan otak kiri sebagai otak utama.
- Speech area terletak di sini. Kesan tersebut sungguh besar.

Sebagai ibu bapa yang pernah melihat anak tunggal sihat walafiat selama empat tahun. Anak boleh berlari, menyanyi, menari, becok bercakap (6 bahasa dia faham dan fasih), membaca, melukis, menulis dan mempunyai daya ingatan yang tinggi.

Terus terang saya katakan... saya menolak gesaan Neurologist!

~ Kerana belum puas berusaha

Benda ini berlarutan selama 23 bulan. Keadaan Jesie bukan semakin sihat malah semakin teruk!

KEPUTUSAN harus di buat!
Antara mati dan hidup!

5 Jun 2013

Menyaksikan saya menandatangani surat pelepasan pembedahan kepada pasukan Neurosurgeon Sime Darby Ara Damansara. Diketuai oleh Doktor Marious Bannedict Selladurai.

Pagi yang dingin...

- 6.30 pagi, Jesie bangun diberi mandi sebersihnya dengan menggunakan shampoo yang disediakan oleh pihak hospital.

- 7.30 pagi, Jesie di tolak masuk ke operation theatre. Saat ini tidak pernah hilang dari ingatan saya. Di mana saya dan suami mengucapkan 'selamat tinggal' kepada Jesie. Dia tersenyum. Tenang riak mukanya. 'Bercahaya' dan sejuk mata saya memandang dia.

Masa terakhir itu, cuma matanya yang bersuara dengan saya...

"Mummy, saya redha. Let me go." Itulah bahasa matanya.

Saya masih kuat. Tiada tanggisan. Pada saat saya ingin tinggalkan Operation Theatre, Matron datang. Dia paut saya dalam pelukkannya. Pertemuan pertama kami, tetapi dia tahu bagaimana saratnya hati saya dengan muatan airmata.

Pagi tersebut, empangan airmata saya pecah di atas bahu Matron itu. Sama-sama kami menanggis menggenangkan Jesie.

"She in a good hand. Dr. Ben team is good." Katanya.

"Ya... I know. But I won't get the same Jesie as before...." Aduku.

"Ya, at least... her seizures will stop. That is matter and that is our goal." Katanya.

"Ya...."

"We pray for her. See you after her surgery."

Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik bagi Jesie.

Jesie selamat keluar selepas 8 jam berada di dalam Operation Theatre. Resah menunggu tiada ukuran kata pada saat itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Minggu ketiga selepas pembedahan...

Jesie sudah sedar sepenuhnya. Tahu lapar, menjerit minta makan. Membesar dan sihat sempurna.

Satu hari, Jesie memanggil saya.

"Mummy."

Saya terkejut!

"Why, Honey?"

Jesie mengangkat tangan kanannya yang tidak mampu melakukan apa-apa pada ketika itu.

Runtuh, hati saya! Sebagai seorang ibu saya tahu 'mimiknya'.

"Mummy, kenapa tangan saya tak boleh bergerak?" Itulah soalan yang dia suarakan.

Saya peluk Jesie. Nyilu tangkal hati.

"Mummy, pernah janji... akan hentikan 'shack shack' (jerking movement). Sekarang dah tak ada kan? Ada satu tangan boleh pakai,  kita akan gunakan ini dengan sebaik mungkin."

Saya harap suatu hari dia akan faham apa yang saya katakan.

Bertitik tolak dari hari itu. Saya menyaksikan pembesaran seorang anak dengan menggunakan hanya Otak Kanannya. Keajaiban itu memang ada.

Malam ini menyaksikan Jesie sudah mampu menulis, melukis, pandai berkomunikasi bila nak makan, nak kencing, nak berak, minat membaca.

Tanpa Hemispherectomy Jesie tak akan mampu membuat perkara di atas.

Penumpuan paling sukar adalah latihan berjalan dan bercakap semula! Latihan seumur hidup!

Terima kasih atas doa dan ingatan kalian...

#mylovejesie

Saturday, 11 October 2014

Pre Hemispherectomy

Saat ini, hati aku masih dibalut pelbagai warna. Hati seorang ibu tidak mungkin akan damai apabila terpaksa menyiapkan anak yang dikandung selama sembilan bulan untuk dibedah di kepala.

Menyedari hakikat, setelah memutuskan sambungan otak sebelah kanan dan kiri Jesie, akan memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan seharian Jesie. Namun, apa yang aku fikirkan adalah saat ini. Saat Jesie bertarung nyawa di antara hidup dan mati Jesie. Tiada yang lebih penting ketika ini, melainkan nyawa anak kesayangan. Nyawa anak yang aku tunggu selama lebih sepuluh tahun. Satu penantian yang cukup lama, akhirnya Tuhan mendengar seruanku. Maka lahirlah Jesie melalui rahimku.

Keadaan Jesie ketika ini meluluhkan hati setiap orang yang mempunyai mata hati penyayang. Bentuk tubuh bertukar kepada bentuk S. Kaki dan tangan kiri melekat di dada. Terketar-ketar 'jerking movement' tidak pernah berhenti selama 23 bulan. Sakit hati seorang ibu apabila dijamu setiap hari dengan penderitaan anak, sukar untuk aku gambarkan. 

Airmata, bukanlah penyudah yang baik. Cuma sekadar untuk melegakan perasaan yang sedang berperang mencari akal, menconggak cara untuk memulihkan keadaan Jesie. Usulan HEMISPHERECTOMY daripada neurologists, kami tolak sebanyak tiga kali. Kesan KECACATAN kekal selepas pembedahan adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk kami terima. Sementelah, Jesie adalah seorang kanak-kanak normal sebelum diserang SEIZURES/TARIK/SAWAN pertama.

Saat aku merakamkan moment ini, Jesie sudah terlalu tenat... berat badan 11kg sahaja. Kurus kering. Hanya tinggal kulit dan tulang sahaja. Makan kami bagi secukupnya. Cuma, Jesie akan mengambil masa hampir 3 jam untuk menghabiskan sepinggan nasi atau semangkuk bubur. Hanya, rasa kasih sayang yang akan mampu menghadirkan tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi semasa melayani Jesie.

Minta maaf, niat hati untuk melakarkan lebih lanjut mengenai Jesie... tetapi aku belum mempunyai cukup kekuatan untuk menuliskan kisah Jesie. Hati ini terlalu rapuh. Kalah dengan emosi diri... Airmata ini terlalu murah. Berbaldi telah tumpah, namun tak pernah kehabisan. Kesannya, aku binggung, sakit hati tak terluah. Di luar nampak kuat, di dalam terlalu rapuh.

Jesie anak yang baik, comel, petah, bijak... dulu dan sampai sekarang dia tetap begitu. Menghiburkan selalu. Ya, Tuhan... berikan limpahan kasih sayangmu terhadap anak ini. Amin.

Sekian untuk kali ini. Ambillah iktibar dari video Jesie. Sebarkanlah andainya, keputusan yang saya telah buat dapat menyelamatkan kanak-kanak yang di diagnosed dengan penyakit RASMUSSEN ENCEPHALITIS...
Pesan saya... jangan dibiarkan. Selamatkanlah anak anda sewaktu dia masih kecil lagi. Hasil daripada pembedahan HEMISPHERECTOMY adalah sangat menakjubkan. Hadapilah ketakutan seorang ibu bapa dengan TAWAKAL dan berserah kepada Tuhan. Dengan izinNya... terjadilah mengikut aturan hidupNya.
Terima Kasih atas sokongan dan himpunan doa kepada Jesie. Love, love, love...