Search This Blog

Search This Blog

Saturday, 11 October 2014

Pre Hemispherectomy

Saat ini, hati aku masih dibalut pelbagai warna. Hati seorang ibu tidak mungkin akan damai apabila terpaksa menyiapkan anak yang dikandung selama sembilan bulan untuk dibedah di kepala.

Menyedari hakikat, setelah memutuskan sambungan otak sebelah kanan dan kiri Jesie, akan memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan seharian Jesie. Namun, apa yang aku fikirkan adalah saat ini. Saat Jesie bertarung nyawa di antara hidup dan mati Jesie. Tiada yang lebih penting ketika ini, melainkan nyawa anak kesayangan. Nyawa anak yang aku tunggu selama lebih sepuluh tahun. Satu penantian yang cukup lama, akhirnya Tuhan mendengar seruanku. Maka lahirlah Jesie melalui rahimku.

Keadaan Jesie ketika ini meluluhkan hati setiap orang yang mempunyai mata hati penyayang. Bentuk tubuh bertukar kepada bentuk S. Kaki dan tangan kiri melekat di dada. Terketar-ketar 'jerking movement' tidak pernah berhenti selama 23 bulan. Sakit hati seorang ibu apabila dijamu setiap hari dengan penderitaan anak, sukar untuk aku gambarkan. 

Airmata, bukanlah penyudah yang baik. Cuma sekadar untuk melegakan perasaan yang sedang berperang mencari akal, menconggak cara untuk memulihkan keadaan Jesie. Usulan HEMISPHERECTOMY daripada neurologists, kami tolak sebanyak tiga kali. Kesan KECACATAN kekal selepas pembedahan adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk kami terima. Sementelah, Jesie adalah seorang kanak-kanak normal sebelum diserang SEIZURES/TARIK/SAWAN pertama.

Saat aku merakamkan moment ini, Jesie sudah terlalu tenat... berat badan 11kg sahaja. Kurus kering. Hanya tinggal kulit dan tulang sahaja. Makan kami bagi secukupnya. Cuma, Jesie akan mengambil masa hampir 3 jam untuk menghabiskan sepinggan nasi atau semangkuk bubur. Hanya, rasa kasih sayang yang akan mampu menghadirkan tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi semasa melayani Jesie.

Minta maaf, niat hati untuk melakarkan lebih lanjut mengenai Jesie... tetapi aku belum mempunyai cukup kekuatan untuk menuliskan kisah Jesie. Hati ini terlalu rapuh. Kalah dengan emosi diri... Airmata ini terlalu murah. Berbaldi telah tumpah, namun tak pernah kehabisan. Kesannya, aku binggung, sakit hati tak terluah. Di luar nampak kuat, di dalam terlalu rapuh.

Jesie anak yang baik, comel, petah, bijak... dulu dan sampai sekarang dia tetap begitu. Menghiburkan selalu. Ya, Tuhan... berikan limpahan kasih sayangmu terhadap anak ini. Amin.

Sekian untuk kali ini. Ambillah iktibar dari video Jesie. Sebarkanlah andainya, keputusan yang saya telah buat dapat menyelamatkan kanak-kanak yang di diagnosed dengan penyakit RASMUSSEN ENCEPHALITIS...
Pesan saya... jangan dibiarkan. Selamatkanlah anak anda sewaktu dia masih kecil lagi. Hasil daripada pembedahan HEMISPHERECTOMY adalah sangat menakjubkan. Hadapilah ketakutan seorang ibu bapa dengan TAWAKAL dan berserah kepada Tuhan. Dengan izinNya... terjadilah mengikut aturan hidupNya.
Terima Kasih atas sokongan dan himpunan doa kepada Jesie. Love, love, love...

No comments:

Post a Comment